Edisi Khas: Mengapa AUKU Wajib Dimansuhkan!
Sudah 40 tahun negara ini ketandusan idealisme dan aktivisme mahasiswa. Semua ini berlaku disebabkan satu punca yang cukup jelas: Akta Universiti dan Kolej Universiti(AUKU).
Tahun 1971, ketika mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memegang portfolio Menteri Pelajaran, beliau telah memperkenalkan AUKU sebagai undang-undang yang harus dipatuhi dan dijadikan guideline kepada universiti.
Pada awal pengenalan akta ini, ia hanya menyentuh perkara-perkara yang lebih berkaitan dengan pentadbiran universiti. Hinggalah akhirnya, pada 1975, taring sebenar AUKU mulai tumbuh.
Ramai mahasiswa dan masyarakat tidak memahami bahawa pembentukan AUKU ini sebenarnya tidak lebih dari sekadar menjadi senjata politik, sama seperti ISA. Ia hanyalah alat yang digunakan bagi melindungi kepentingan dan survival politik sesetangah golongan pemerintah, dan dalam hal ini; Tun Mahathir sendiri pada ketika itu. Mengapa perkara ini adalah yang demikian? Kita harus kembali ke tahun 1971 iaitu apabila mahasiswa melancarkan kempen dan demonstrasi anti-Tunku.Sejarah ini tidak diajar di sekolah, harap maklum. Tun Mahathir sebagai politician yang bijak mampu melihat, bahawa jika gerakan mahasiswa tidak disekat dari awal, beliau yang mempunyai cita-cita politik yang tinggi juga bakal menghadapi perkara sama yang berlaku ke atas Tunku suatu hari nanti. oleh yang demikian, dengan kuasa yang ada, AUKU diwujudkan. Mencegah bukankah lebih baik dari mengubati?
Perkara-perkara yang terdapat di dalam AUKU seperti pelantikan NC, pentadbiran, penubuhan universiti dan sebagainya sebenarnya hanyalah kosmetik. Fokus utama adalah perkara 15: menyekat dan mematikan aktivisme mahasiswa. Ini adalah hal pokok yang sama sekali tidak adil, dan sekaligus, mematikan potensi mahasiswa. Buktinya jelas, hari ini, produk2 AUKU boleh dilihat di mana2 universiti. Mahasiswa yang hanya mahu belajar sahaja tanpa menyedari peranan sebenarnya terhadap masyarakat. Mahasiswa 3K: Kuliah, Kafe, dan Katil adalah istilah popular untuk menggambarkan rupa paras mahasiswa hari ini. Lebih teruk lagi apabila mahasiswa menjauhkan diri dari turut serta menjadi sebahagian dari sistem dalam negara. Mahasiswa tidak mampu mengkritik mana2 dasar kerajaan yang memberi kemudaratan kepada masyarakat dan negara. Pada awalnya, sentimen ini bermula kerana mahasiswa takut dengan AUKU. Namun hari ini, mahasiswa sendiri tidak tahu apa itu AUKU!
Mahasiswa menjadi lesu dan tidak peduli dengan apa2 saja isu, terutama sekali dasar negara, bukan sebab takut dengan ancaman AUKU, sebaliknya, mahasiswa sudah terbentuk sebegini. Analoginya mudah: melentur buluh biar dari rebungnya. Bentuk "buluh" yang diingini oleh pemerintah itu dilentur pada zaman 70-an dahulu, dan hasilnya kini sudah boleh dituai selepas 40 tahun.
Adalah menyedihkan untuk melihat, mahasiswa langusng tidak ambil peduli tentang "hal ehwal politik" ini. Inilah yang dipanggil "produk AUKU". Produk AUKU bermaksud mahasiswa yang hanya mementingkan diri mereka, tanpa menghiraukan masalah di luar. Mahasiswa enggan menjadi sebahagian dari sistem sosial masyarakat, kecuali mungkin apabila universiti menganjurkan program seperti baktisiswa dengan habuan t-shirt percuma, dan nasi bungkus.
Ada pihak yang terlatih dan didoktrin oleh pemerintah yang sering menempelak dengan mengatakan AUKU itu bagus. Tanpa AUKU, kita tak mampu tadbir universiti. Tanpa AUKU, kita tak mampu tubuh universiti! Saya gelar mereka ini buta sejarah.
Adakah UM ditubuhkan oleh AUKU? adakah SITC wujud dengan adanya AUKU? adakah UIA ditubuhkan melalui AUKU?
Kepada yang memahami perjuangan menentang AUKU ini, mereka akan segera faham, penyelesaian mudah kepada "masalah" ketiadaan AUKU kelak adalah AUTONOMI UNIVERSITI.
Hari ini, universiti tidak mempunyai autonomi. apa perlunya autonomi universiti? Apa dia autonomi universiti ini?
Autonomi universiti adalah istilah yang digunakan untuk menerangkan bagaimana sebuah universiti, boleh menjadi entiti bebas yang tidak terikat dengan undang-undang mahupun sekatan yang hanya membantutkan perkembangan universiti dan mahasiswanya sendiri.
Sekali lagi, imbas kembali pada zaman bilakah, Universiti Malaya menjadi universiti terulung di rantau ini? UM pernah menjadi universiti kebanggaan Malaysia kerana berjaya menduduki ranking yang baik dalam dunia ketika AUKU belum cukup matang penguatkuasaannya. Sekian lama, setelah AUKU semakin berkuasa, UM akhirnya merosot. Pentadbiran universiti diganggu gugat oleh 1001 sekatan dan undang-undang yang tidak munasabah, dan hanya mampu bertindak mengikut arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan pemerintah.
Perkembangan sebegini tidak sihat. Universiti adalah gedung ilmu. istilah gedung ilmu ini bukan diambil dari rupa bentuk bangunan mahupun berapa banyak fakulti yang tertubuh di dalam universiti, sebaliknya kerana insan-insan yang berada di dalamnya.
Pensyarah dan mahasiswa adalah golongan cerdik pandai dalam negara ini, dan golongan ini memerlukan persekitaran yang kondusif, serta bebas untuk membolehkan pemikiran, idea, penyelidikan, pecambahan ilmu, dan fungsi kepada masyarakat mampu berkembang maju.
Ini sama seperti keluhan guru yang terbeban dengan permintaan dan dasar-dasar dan pekeliling pelik kerajaan terhadap guru. Begitu juga universiti. Naib Canselor, Dekan, Rektor, pensyarah, dan mahasiswa adalah golongan yang tinggi darjat ilmunya. mereka sebenarnya lebih tahu bagaimana untuk mengurus universiti mereka sendiri. Mereka sebenarnya tidak memerlukan guideline yang tidak munasabah oleh mana2 pihak untuk mentadbir sebuah universiti. Ini adalah realiti yang mudah untuk difahami. tidak ada gunanya mempunyai Naib canselor terbaik dalam negara ditempatkan dalam sebuah universiti, jika mereka tidak mempunyai peluang yang sebaiknya untuk mentadbir dan menetapkan corak dan halatuju universiti.
Oleh yang demikian, apabila AUKU dimansuhkan, dengan otomatiknya, autonomi kepada universiti mampu dikembalikan. universiti mampu ditadbir dengan bebas dan sesuai denga halatuju yang ditetapkan oleh pentadbir universiti sendiri. Mereka tidak perlu lagi mendapatkan kelulusan mahupun restu mana-mana pihak untuk menjalankan mana-mana agenda dan dasar yang difikir baik untuk universiti.
Kemudian, dengan termansuhnya AUKU juga, autonomi mahasiswa juga mampu diwujudkan. Apabila mahasiswa dilepaskan dari penjara AUKU, aktivime mahasiswa yang lebih sihat, bebas dari unsur dan anasir ketidakpuasan hati mampu dihidupkan. Mahasiswa yang sebegini adalah sihat. Autonomi yang diberi kepada mereka membolehkan mereka mentadbir, dan memimpin mahasiswa lain. Hanya mahasiswa yang benar-benar mengenali hati budi mahasiswa. Hanya mahasiswa yang mengerti jerit perih mahasiswa. Hanya mahasiswa yang tahu bagaimana mentadbir badan mahasiswa sendiri.
Hari ini, aktivisme mahasiswa sering dikaitkan dengan keadaan huru-hara dan penuh dengan unsur pemberontakan. Keadaan menjadi parah dan tidak terkawal sebegini kerana mahasiswa tidak mempunyai kebebasan yang wajar untuk menghidupkan idealisme dan aktivisme mereka. Sedarlah, mahasiswa ini adalah bakal pemimpin masa depan. mereka mempunyai hak untuk menentukan hala tuju mereka sendiri. Mereka mempunyai hak untuk menentang ketidak wajaran yang dilihat memberi mudarat kepada negara. Mereka mempunyai hak untuk menyatakan pandangan mereka.
Mahasiswa bukan sahaja benar-benar mahu, malah diperlukan untuk menjadi sebahagian daripada sistem negara. Mahasiswa adalah jiwa muda yang bersih, serta masih celik dan tidak goyah digoda dengan pangkat dan kemewahan. Mahasiswa adalah jiwa muda yang suci, dan mereka mempunyai cita-cita dan harapan yang tinggi terhadap negara mereka. Mahasiswa adalah golongan yang nuraninya putih, dan tidak korup. Mereka sentiasa mempunyai idea untuk membangunkan negara ini ( yang sedang ketinggalan terlalu jauh berbanding yang lain).
Dengan terhapusnya AUKU, maka belenggu mahasiswa mampu dipecahkan. Dengan terhapusnya AUKU, maka university mampu mencapai perkembangan intelek yang lebih pesat. Dengan terhapusnya AUKU, gedung ilmu bukan lagi tempat untuk hegemoni menyesatkan orang-orang didalamnya dengan dakyah-dakyah politik.
Percayalah, kepada mahasiswa, pensyarah, rakan-rakan pemerhati, masyarakat, dan semua yang sering skeptikal mengenai aliran pemikiran mahasiswa seperti kami; yang kononnya dicemari dengan dakyah musuh politik pemerintah dan sebagainya, terhapus sahaja AUKU, maka bebaslah unsur politik dari menara gading di dalam negara ini. Yang tinggal nanti, hanyalah idea-idea hebat dan kritikan membina untuk memastikan negara ini ditadbir dengan betul, bebas dari rasuah dan penyelewengan, dan akhirnya menuju kemajuan.
Walaubagaimanapun, andai AUKU dimansuhkan hari ini selepas 40 tahun berkuasa, ia akan mengambil masa 40 tahun pula lagi untuk mengembalikan semula roh mahasiswa dan universiti yang telah hilang. -Reformist