Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Terlebih dahulu, tahniah diucapkan buat Pro-Mahasiswa UPSI kerana telah mencipta satu gelombang baru dalam PRK UPSI yang sebelum ini kurang warna-warni dan agak lesu. Majoriti kemenangan dari segi calon yang bertanding jelas menunjukkan mahasiswa memilih calon yang membawa slogan mahasiswa.
Sejak dari hari penamaan calon, Pro-M telah diasak dengan pelbagai cara untuk memastikan Pro-A terus menguasai MPP UPSI. Kecekalan dan kekentalan calon Pro-M yang jelas bertanding bukan atas desakan pihak ketiga tetapi atas niat mempejuangkan hak mahasiswa membuka mata semua pihak bahawa calon yang ikhlas berjuang akan secara mudah mendapat sokongan mahasiswa.
Rapat umum yang dijalankan jelas menunjukkan aura mahasiswa sudah melanda UPSI yang selama ini rata-rata rakyatnya tidak ambil kisah atau mengundi sekadar cukup syarat untuk tunaikan tanggungjawab. Kebanyakan mahasiswa sudah pandai menilai politik kampus cara matang dan bukannya politik mengikut tanpa arah tujuan.
Ugutan dan fitnah turut mewarnai PRK UPSI kali ini. SMS menakut-nakutkan mahasiswa bahawa andai menyokong Pro-M tidak akan posting nyata taktik lama yang sudah basi. Menakut-nakutkan mahasiswa bukanlah satu perkara yang bijak kerana jelas, mahasiswa sudah matang berfikir.
Hari pengundian juga tidak kurang hebatnya. KZ dan KAB yang dikatakan kubu kuat mahasiswa menyaksikan satu tragedi di mana berlakunya konspirasi untuk menghalang mahasiswa mengundi akibat terputusnya sambungan kabel talian telefon. Jelas di sini pihak Suruhanjaya Pilihanraya sendiri tidak cukup kemas sehinggakan perkara ini boleh berlaku. Kita sedar, ada agenda di sebaliknya. Cuma diharapkan mahasiswa bijak menilai apa yang telah berlaku.
Pengumuman keputusan PRK UPSI di SITC oleh YBHG. Prof. Dato’ Dr. Aminah Ayob menyaksikan laungan Mahasiswa bergema di dewan bersejarah bumi kelahiran pejuang kemerdekaan ini. Ada yang terus meninggalkan dewan. Ada yang menangis gembira. Menangis kecewa. Pelbagai bentuk emosi memenuhi dewan SITC pada waktu itu.
Tidak perlulah diulas siapa yang menang paling banyak baik calon umum mahupun fakulti, namun apa yang perlu difikirkan di sini ialah betapa gentarnya pihak di atas melihat perkembangan pilihan raya kampus kali ini sehinggakan berusaha sehabis mungkin untuk mengelakkan calon-calon Pro-M menguasai Majlis Tertinggi MPP UPSI. Cubaan mewujudkan pakatan dan usaha melobi sokongan dalam proses membina kabinet terus berlaku sebaik keputusan penuh diterima. Yang jelas kelihatan ialah dari kumpulan Senyum.
Calon LMP sendiri dilobi secara hebat oleh kumpulan Senyum. Pertama sekali, percaturan kumpulan senyum memang hebat. Taktik Shaiha yang memimpin kumpulan ini sungguh licik dan berjaya mendapat sokongan seluruh calon Pro-A. Tahniah atas kejayaan ini. Impian untuk melihat bukan golongan Pro-M yang menerajui MPP UPSI berjaya. Tahniah!
Sebaik barisan baru kabinet dibentuk, ramai yang bertanya dan terkejut atas pemilihan seorang wakil LMP sebagai bendahari MPP. Ramai yang ingin tahu apakah agenda di sebalik terpilihnya Fauzie sebagai bendahari? Adakah wujud strategi untuk memecah belahkan LMP dan MP yang sebelum ini berganding bahu atas satu semangat setia kawan di bawah panji Mahasiswa? Tidak dinafikan wujud desas-desus yang mempertikaikan tahap kesetiaan calon-calon LMP. Satu lagi permainan politik dijelmakan. Kita sedar bahawa MP telah cukup cantik perjalanannya, strukturnya serta pengalamannya dalam PRK UPSI. Kita juga sedar bahawa LMP yang baru sahaja lahir di UPSI telah berjaya mendapat tempat di hati mahasiswa. Tidak mustahil, LMP yang baru sahaja lahir ini akan cuba dibunuh. Teori konspirasi ini ada asasnya. Kumpulan yang jelas menyokong agenda Pro-Mahasiswa akan terus ditentang oleh pihak-pihak yang mahu menjaga hati pihak atasan.
Suka saya ingatkan di sini, strategi memecahbelahkan pakatan ini akan berjaya andainya segelintir pihak yang beremosi atas apa yang berlaku terus leka dalam permainan politik si licik. Hasilnya nanti, perpecahan bukan dilakukan dari luar, sebaliknya dari dalam pakatan itu sendiri. Secara jujurnya, suara 11 orang yang menang takkan mampu mengalahkan 18 lagi yang terang-terang mempunyai asas Pro-Aspirasi. Walau di mulut menyatakan BEBAS, tapi di hati tetap Aspirasi. Mengapa mereka tidak dapat menerima Pro-M? Sebab Pro-M dikatakan Pro-Demonstrasi. Pro-Pembangkang. Pro-Buat Kacau. Pro-Huru-Hara. Inilah masalahnya apabila politik luar dibawa masuk. Mereka mengatakan mereka tidak terlibat dengan politik luar. Tetapi apa yang jelas mereka telah menyamakan Pro-M dengan Pembangkang. Walhal, tiada satupun campurtangan politik luar dalam Pro-M UPSI. Sedangkan duit rayuan pun dikumpulkan dalam kalangan ahli sendiri. Pro-M itu sendiri berjuang untuk mahasiswa. Jawatan itu sendiri adalah jawatan untuk mahasiswa. Mengapa perlu wujud istilah pembangkang?
Pencerahan minda sekali lagi. Pro-M bukan kaki demo. Pro-M hanya mahu menjadi pendesak. Mendesak secara profesional. Bukan emosional. Selama ini MPP menjadi ‘kawan baik’ pihak atasan dan hubungan ini tidak profesional. MPP ada peranan tersendiri dalam universiti. Membantu mahasiswa, menjadi perantara antara mahasiswa dan pihak pentadbiran serta menjadi ‘watchdog’ atas apa jua kelemahan pihak universiti. Bukan hanya mengikut, mengangguk dan menyokong. Ya, kita sayang universiti kita. Namun, jangan hanya sayang universiti andai sahabat-sahabat disisihkan. Ramai pihak di luar sana mempertikaikan kredibiliti mahasiswa lepasan UPSI. Inilah masanya MPP memikiran cara bagaimana mahu menjadikan mahasiswa UPSI lebih progresif dan kompetitif sebaik bergraduasi nanti.
Secara ringkasnya, Pro-Mahasiswa UPSI menang dalam pertandingan. Cuma kita harus akui, kita kalah dalam permainan politik. Ya, kita sudah lalui berbagai halangan. Cubaan ‘bunuh’ sebelum bertanding, fitnah, ugutan serta tekanan dari pihak SPR yang jelas kurang memihak pada kita. PRK membuatkan semua pihak dalam Pro-M penat. Namun, jadikan apa yang berlaku sebagai satu cabaran agar diperkemaskan lagi strategi pada masa akan datang. Kita sudah ada penyokong sendiri. Kita sudah dikenali. Akan datang, kita pastikan seluruh fakulti kita tandingi.
Ingat, pihak-pihak yang tidak suka akan kewujudan Pro-M sedang tersenyum lebar akan apa yang berlaku. Biarlah. Jangan pernah putus asa berkongsi dengan mereka apakah itu Pro-Mahasiswa sebenarnya. Mungkin ramai yang masih belum mengerti. Niat yang ikhlas. Doa yang tak pernah putus, Usaha yang tak pernah terhenti serta tawakkal kepada Allah. Insya Allah, perjuangan ini mendapat keredhaan-Nya. Kejayaan tidak akan datang bergolek. Itu yang pasti!
Salam Mahasiswa...!!!
- by saudara Zulfadli Amzar -
No comments:
Post a Comment